Wednesday, August 10, 2011

Ramadhan Version 2.0 The dark side.of me

20 tahun yang lalu, di bulan Ramadan tahun 1991. Ketika itu usia aku baru menginjak ke angka 13, bersamaan tahun pertama aku di Tingkatan 1 di salah sebuah sekolah di Utara Malaysia. Pada bulan puasa penuh barakah itu jugalah aku mengambil langkah pertama yang aku kira agak besar pada usia semuda itu, sementelah jika tidak berbuat keputusan sedemikian pun, tiada mengubah apa-apa pada lanskap hidupku.

Yang aku maksudkan keputusan itu ialah apabila aku berhasrat tinggal di asrama sekolah. Adakah kediaman ibu bapaku jauh jaraknya dari sekolah? Adakah aku sukar untuk berulang alik setiap hari? Tiada kenderaankah untuk aku ke sekolah pada ketika itu? TIDAK. Jawapannya tidak sama sekali. Tiada masalah untuk aku, lantas kenapa keputusan berani itu yang dibuat?

1. Ingin merasa adventure kehidupan belajar dan tinggal di asrama sekolah
2. Ingin memahami dengan lebih terperinci perasaan anak-anak yang berjauhan dari keluarga mereka
3. Ingin menyelami perasaan salah seorang rakan sekelasku yang aku panggil Kak Chik, lantaran setiap hari dan setiap masa menangisi kesunyiaannya akibat berjauhan dengan keluarga. Ya, dia menangis setiap hari, setiap 15 minit (anggaran waktu hiba hingga tenang), di setiap matapelajaran kelas.
4. Berdikari

Maka pada suatu petang di awal bulan Puasa aku dengan bersemangat mendaftarkan diri di asrama sekolah, ditemani ibu bapa yang tersayang. Walaupun pada ketika itu tidak jelas adakah ini kemahuan sebenarku, namun ibu bapaku tidak menghalang keinginan kabur anak mereka. Dan pada minggu-minggu seterusnya, bermulalah episod hitam di dalam diari aku yang dikenali sebagai Faddy.

Dialog setiap waktu rehat di bulan puasa tersebut:

“Wey Rajesh!! Hang jangan lupa ah ayaq aku satlagi hang letak bawah meja! Balik Zohor satlagi aku lantak!!”

“Laa…..Thilagavathy!!!! aku kata aku nak ayaq pepsi la!!!! Hang ni reti ka dak beli kat vendor machine tu??”

“Haa….sesapa nak ayaq kotak, ambiklah kat locker aku! Aku tak kunci. Dah habis semua ayaq kat vendor machine tu aku tibai, boh dalam locker,”

Itulah aku. Menstrual kah aku dalam tempoh 30 hari itu? TIDAK. Lantas kenapa jahat benar. Mengapa betah mengumpul dosa tidak berpuasa?

Jika ada yang mengatakan mereka tidak pernah terpengaruh dengan pengaruh rakan sebaya dalam apa jua keadaan pun, aku sangat meraguinya. Kerana pada ketika itu imanku hancur seluluhnya. Aku merasa enjoy, gembira apabila tidak berpuasa.

Walaupun hanya meneguk air sepanjang hari tanpa menjamah makanan (seperti rakan lain yang sanggup makan maggi dan memasaknya di dalam baldi pakaian untuk berpesta beramai-ramai.) Oh ya. Jikalah perkara itu memang ia mendatangkan kejelikkan padaku.

Syaitan dirantai, tapi kenapa aku sangat gembira menjadi penggantinya? Aku tidak tahu. Sedikitpun aku tidak terfikir mengenai dosa, ibu bapa, keluarga, kesunyian. Kerana aku terlalu gembira membaja dosa. Walaupun solatku sempurna. Aku berpesta seadanya. Sedang hamba-hamba Allah seantero dunia mengerjakan ibadah penuh nikmat, aku asyik dengan dunia jahatku yang baru ditempa.

Hinggalah pada akhir bulan puasa itu apabila suatu kejadian berlaku dan menerajang kesedaran.

Pada setiap hari Sabtu, pelajar asrama dibenarkan outing dan balik semula ke asrama sebelum menjelang 6 petang. Tapi pada hari itu aku dan rakan-rakan dari asrama serta sahabat baikku yang tinggal di luar berhasrat menghabiskan saki baki projek Geografi kami di sekolah sahaja. Sebelum itu rakan ‘alimku’ memberi cadangan berani mati.

“Lapaqla wey pagi-pagi ni! Apa kata kita pi Pasaraya Peladang dulu. Beli bun ka apa ka….melantak lebih kurang, baru la buat gheja.”

“Wey hang gila ka??!! Nak melantak kat mana?”

“ Kat sekolah la! Bukannya ada orang!!”


MAI LA MASUK GENG AKU

Aku dan rakan-rakanku memandang sekeliling. Nyata kosong dan lengang. Tanpa bantahan kami menuju ke pintu gerbang sekolah menghala ke Pasaraya Peladang yang letaknya kira-kira 1000 meter dari sekolah. Setelah berjaya membeli bahan-bahan berpesta dan tidak mengendahkan pandangan tajam pekerja pasaraya tersebut, kami tiba padang sekolah dan membentangkan makanan di sebalik longgokan projek sekolah.
Sedang asyik bersantap dan berbual dan tenggelam dengan gelak ketawa yang gegak gempita, terdengar teguran tegas dari belakang.

“Eh, you all tak puasa?!!”

Tanya Kavitha dan kawan-kawan nerdy yang selalu bersamanya ke mana jua.

Bammm!!!!!

Aku tersentak. Namun riak rakan-rakan pestaku tidak berubah, malah tidak mengendahkan pembantu pengawas sesi petang itu. Kavitha kemudiannya meninggalkan kami setelah menghadiahkan jelingan berbisa disambut hilai tawa rakan-rakanku.

Mungkin mereka dah biasa. Tetapi aku sempat menangkap kelibat Kavitha mencatatkan sesuatu di buku notanya, dibantu bisikan tentera kecil Kavitha.

Keesokkannya aku melangkah ke sekolah dengan hati yang tidak tenteram. Sesi persekolahan bermula seperti biasa kecuali debaran itu kian jelas apabila tiba waktu matapelajaran Pendidikan Islam. Aku begitu yakin Ustazah Fauziah begitu serius memandang wajah setiap daripada kami dengan rentak yang agak berbeza petang itu. Namun dia memulakan pengajarannya sejurus selepas menjawab salam.

Setelah memberi tugasan kepada murid, tiba-tiba Penyelia Petang muncul di sisi pintu kelas, menerbitkan rasa cemas yang bertambah di dadaku. Melangkah ke kelasku sambil tangannya memegang sebilan rotan panjang, dia memanggil kami bertujuh. Aku akhirnya tahu apa pengakhirannya.

Kami dihadiahkan hukuman rotan di hadapan rakan-rakan sekelas yang lain setelah diberi syarahan agama yang panjang lebar oleh Ustazah Fauziah.

Yang bersalah tidak terkata apa walaupun diasak dengan soalan-soalan kenapa melakukan perbuatan keji, tidak berpuasa, tiada perasaan malu walaupun bertudung, berani secara terbuka membeli makanan di luar dan makan terang-terangan tanpa ada rasa aib kepada Allah.

Bagiku yang paling jelas. Aku pernah menjadi hamba Allah yang terbaik di usiaku yang 10 tahun, kenapa di usia 13 tahun aku mahu tersasar memilih jalan yang melencong. Dirotan beramai-ramai, secara terbuka, dan mengakui kesalahan tidak berpuasa hampir sebulan, sangat mengaibkan. Aku merelakan diriku turut dipengaruhi keseronokan jahanam, tetapi aku tidak menyalahkan rakan-rakan sebayaku. Aku yang memilih untuk membuat keputusan salah dan merosakkan akhlakku. Maka aku jualah yang menerima akibatnya.

Perasaan malu itu sangat mencalar peribadiku. Paling meranapkan jiwa apabila perlakuanku sampai ke pengetahuan ibu bapa yang tercinta. Dan kerana itu aku tidak dapat memaafkan diri sendiri kerana menodai kepercayaan mereka.

Melihat anak sulungku yang tegar berpuasa di usianya 6 tahun tanpa lewat seharipun, sangat menginsafkan. Aku akan bercerita kisah hitam di bulan Ramadan kepadanya apabila masa itu tiba. ; )

No comments: