Wednesday, September 14, 2011

MENJAGA AURAT: ANTARA MALAS ATAU JAHIL

Source:Google

*Entry ini ditulis merujuk kepada mereka yang bertudung.

AYUH berlaku jujur kepada diri sendiri. Mengapa anda menutup aurat? Adakah kerana sedar terhadap obligasi agama atau sekadar terikut-ikut (peer’s influence and family upbringing).

Seperti biasa aku suka untuk merujuk kepada diri sendiri. Ya. Aku akui masih tersasar dalam usaha menutup aurat sepenuhnya mengikut syariat dan landasan Islam yang sebenar. Pada mulanya aku jahil, tetapi melalui pembacaan yang berdikit-dikit itu (come on, I admit Islamic articles are not one of my eye catcher and you too shouldn’t be in denial!), akal dan kesedaran malah ketakutanku kian berkembang.

Aku bermula sebagai seorang hijabi yang bukan original. Berhijab ketika berada di tingkatan tiga kerana syarat wajib di sebuah pusat tuisyen, yang menyatakan murid-murid perempuan perlu berhijab untuk belajar di sana. Aku merasa sangat enteng. Aku masih mengenakan tshirt yang dipadankan dengan baggy jeans (gemar, ok!) dan sehelai scarf tiga segi, sekadar mengikatnya ketat pada leher. Memang, anak tudung tidak dikenakan langsung. Wah…aku telek diriku di cermin, rock juga penampilan paksaan itu!

Memakai hijab hanya untuk membolehkan aku menghadiri tuisyen, kemudian di sekolah sudah tentu diwajibkan bertudung sepanjang waktu sesi sekolah. Habis waktu sekolah, pantang ada aktiviti petang, bersukan, mahupun ada aktiviti pasukan beruniform dan juga belajar berkumpulan, nah…waktu itu hijab mudah terbang.

Tamat sekolah menengah, meniti pula zaman universiti, waktu itu juga iman sangat goyah. Sekalipun tahu hukum hakam namun pemakaian mengikut syarak masih diabaikan. Iya, bertudung sekadar menutup rambut, tetapi pakaian tidak dipelihara. Perlakuan apatah lagi. Kalau boleh dibanding antara hilaian si Pontianak dan aku, agaknya aku menang. Anda juga usah menafi, jarang sekali kita rasa sikap dan suara kita, kelakuan itu juga adalah aurat yang perlu kita jaga.

Source:Google

Menjelang saat berkerjaya, ketika itu hasrat untuk menutup aurat sepenuhnya juga lebur. Mengapa? Mana mungkin aku sanggup tewas untuk kelihatan bergaya dengan penampilan wanita berkerjaya, sedangkan aku dihidangkan dengan seleksi fesyen terkini yang tiada penat dikejar di ISETAN, NICHII, METROJAYA, PARKSON dan jangan lupa Jusco! Pakaian harus menampakkan susuk yang ramping, baru keyakinan itu tinggi. Kasut perlu berjenis-jenis, mary jane, pumps, wedges, stiletto, peep toed, baru kelas!

Source:Google

Melangkah ke usia 30-an, aku rasa keseronokan berpakaian, berfesyen bagai nak gila, ketenangan ketika mengadap Ilahi, kian bercelaru. Apabila di rumah, kita sangka kita bebas segalanya. Tetapi tidak. Hendak menyidai pakaian di ampaian juga perlu sedar. Ada mata yang memerhati. Tidak kira lelaki dan wanita. Jadi kenapa malas dan masih meneruskan kejahilan itu? Sukar sangatkah untuk menyambar hijab menutup kepala, jaket atau cardigan untuk menyarung lengan yang terdedah? Semuanya nak ambil mudah. Tapi jangan lupa. Dosa kerana tidak menurut syariat dan larangan-Nya itu adalah sesuatu yang pasti. Ia tidak mengira kau dan kau serta aku yang berkata, ‘ala sekejap jer ni….atau mana ada orang nampak, ni rumah aku’.

Sebenarnya nak berfesyen itu boleh. Ilmu itu perlu digali. Memang semua orang mahu kelihatan cantik untuk kepuasan diri sendiri. Sekarang fesyen muslimah itu sangat banyak. Malu sedari dulu lagi sudah ada. Tetapi kita tidak berikhtiar. Seperti sekarang, aku lebih gemar dengan maxi skirt, maxi dress yang tidak menampakkan susuk tubuh, atau jika hendak berseluar, sila pilih yang loose. Jangan ingat loose tidak menarik. Kena pandai mencari, atau kalau malas, sila berbaju kurung atau jubah sahaja. TAK..aku tak membebel kepada sesiapa. Aku bercakap untuk diri sendiri. Dan paling penting! Sila labuhkan tudung anda. Cover your chest is the best, menurut Wear It Right Campaign oleh Saudari Sue Anna Joe. Memang, aku support dia dan golongan yang sama-sama memperjuangkan penjagaan aurat yang sempurna.

Aku sangat kesal kerana lebih bertahun-tahun membazirkan masa dan menimba dosa yang bertimbun kerana tidak menutup aurat dengan sempurna. Mengapa? Iya…kerana ia seperti tidak menutup langsung! Pakaian ketat, senteng, hijab pendek, apa maknanya? Aku biarkan kita sama-sama muhasabah diri kerana kita memilih untuk menutup kepala pada mulanya kerana apa? Sama-sama kita fikirkan.

No comments: