Sunday, September 25, 2011

Kisah Jerawat

JERAWAT: Sejenis penyakit kulit yang popular di kalangan wanita (mengapa wanita? Ya, kerana mereka ialah spesis yang sangat ambil kisah). Jerawat atau akne melalui istilah bahasa Inggeris yang telah dimelayukan, pernah menghantui fasa hidupku selama tempoh 1998-2003, atau 5 tahun lamanya.

Bagi yang pernah mengalami masalah jerawat yang kronik, sudah pasti anda memahami betapa jerawat sangat memeritkan segenap aspek hidup anda. Bagi yang tidak bersetuju dan lantas menjawab TIDAK, well let me tell you something. You are very lucky!

Apakah contoh-contoh yang aku maksudkan sangat perit itu?
- Tiada keyakinan diri atau keyakinan diri yang rendah
- Malu
- Gemar menyendiri dan menolak kehidupan sosial (sosial secara sihat)
- Kurang diberi perhatian dan tidak menjadi pilihan utama (merujuk kepada individu yang mementingkan penampilan dan rupa berkisar soal kerjaya)
- Tidak berani mencuba

Hampir semua pernyataan yang aku gariskan di atas berlaku kepada aku dan melalui tempoh 5 tahun saat berada di gerbang pengajian tinggi sehingga melewati dunia awal kerjaya.

Sebelum itu ingin aku ceritakan serba sedikit kronologi duniaku dalam memerangi jerawat. Ketika tamat SPM dilambung ombak keseronokan bercuti panjang, aku penuhi jadual dengan memerap di rumah bertemankan bahan-bahan bacaan berciri wanita (sementelah sebelum ini ligat dengan majalah RODA, PANCING, JORAN dan sebagainya). Dalam pada itu diri semakin ralit mengulit majalah Mingguan Wanita dan iklan-iklannya.

Entah sampai ke edisi ke berapa, mata akhirnya tertancap pada iklan siri produk kecantikan, merupakan antara syarikat bumiputra yang terawal mempelopori produk kecantikan tempatan. Tetapi yang mempersona mata, ialah testimonial pelanggannya. Aku yang tidak mengalami masalah kulit walau sepicingpun mula memasang angan-angan untuk mencuba rangkaian produknya, keluaran syarikat C yang menjanjikan kulit putih gebu seawal 7 hari penggunaan.

Tanpa bertangguh aku terus mendapatkan produk ajaib itu melalui pengedar mereka di bumi Alor Star yang bertuah itu. Hari ketiga memakainya, wajah terasa sedikit perit. Aku abaikan rasa pedih yang mula menular setiap kali aku mencuci wajah dan mengoles krim malam ‘ajaib’ itu. Menjengah hari ketujuh, ibuku mula bertanya mengapa wajah sedikit pucat sedangkan selalunya matanya terbiasa dengan warna kulit anaknya yang cerah paras medium, kadang terbias rona merah dek ‘blushing’.

Dalam diam aku seronok, mungkin pucat inilah yang dikatakan putih gebu. Betapa jahil aku ketika itu. Padaku kosnya yang mencapai harga RM150 untuk tiga pek kecil, bertahan selama dua minggu penggunaan, cukup berbaloi. Rasa teruja tidak terkata walaupun wajah sedikit pedih. Entah apa yang menggembirakan ketika itu aku pun tak pasti. Selagi rakan-rakan menegur, kulit pucat, aku sudah seronok. Dan menggunakannya sehingga melanjutkan pelajaran ke ibu negeri Selangor.

Melangkah ke matrikulasi di Seksyen 2 Shah Alam, rasa pelik mula menerpa. Apakah jenis sakit kulit yang aku alami sekarang? Jerawat bersaiz besar, bernanah dan berdarah mula melata. Aku panik. Menangis usah dikira. Boleh sahaja dibilas bantal yang menemani sedihku saban malam. Berhenti produk C, produk tanah seberang pula ku cuba.

Tidak cukup dengan itu produk N mula mendapat perhatian. Konon terpukau dek iklan TV yang dibarisi kata-kata yang cukup indah. Melihat wajah teman-teman seperjuangan, hati makin meruntun. Mengapa tidak lagi wajah polos nan gebu itu menjadi milikku? Kenapa janji-janji manis pengasas produk kecantikan itu dan ini tidak menjadi magis di wajahku?

Aku menjadi seorang yang sangat sombong di kelas dan di sekelilingku. SOMBONG walau pada hakikatnya aku berasa sangat MALU. Jika tiada yang menegur, maka aku tidak memandang. Saban hari tatkala selesai mengadap Yang Esa aku memohon padaNya, berikanku peluang walaupun sehari cuma untuk merasai kehidupan seorang yang tidak berjerawat. Sampai begitu sekali. Tetapi Alhamdulillah aku setia ditemani oleh sahabat-sahabat yang sangat memahami malah tidak memperdulikan rupa parasku yang semakin galak ditumbuhi jerawat yang bagai tiada surutnya.

Dalam pada itu, mahu juga aku bersosial di alam maya melalui rangkaian bual IRC (nak juga tu!), konon tidak kelihatan wajah, cuma bersembang secara buta. Usah berdalih ya, IRC sangat hit ketika itu! Sekadar berkongsi, aku temui jodohku di IRC dan dia menyaksikan sendiri wajah yang berjerawat merah itu sehingga menerimanya tanpa syarat, terima kasih sang suami!

Tahun-tahun berikutnya, walau masih geram dengan kondisi wajah yang tidak berubah walau sudah merangkak ke pengajian ijazah, aku mula rasa tidak peduli. Tapi, dalam tidak peduli itu masih juga mencari produk penawar dan kemudian aku diperkenalkan dengan produk F, nyata menghapuskan noda dan jerawat secara total. Sehingga ramai yang bertanya dan takjub dengan perubahan yang mendadak. Ketika itu aku sudah hampir menamatkan pengajian, rasanya di akhir tahun 2002. Tiba-tiba tahun 2003 jerawat kembali menyerang. Kali ini tiada belas kasihan.

Ooohhh……tewas lagi aku. Kesan yang aku alami sementara cuma. Kecewa lagi. Kali ini tiada patah balik, aku berhenti sepenuhnya menggunakan apa-apa produk. Ada perubahan. Surut seketika serangan miss J. sehinggalah aku mula bekerja dan mendirikan rumah tangga.

Ketika mula hamil, aku rasa di usia 3 bulan kandunganku, aku terbaca artikel yang menarik di Mastika. Produk hasil sentuhan seorang kerabat Diraja Kedah yang mempunyai rangkaian rawatan kecantikan di KL dan Selangor. Yang menangkap rasa kerana diceritakan gejala-gejala serta kesan pesakitnya yang menggunakan produk kimia yang pelbagai dan paling penting ke atas kandungan. Dengan pantas aku berkunjung ke Seksyen 9 Shah Alam, dan bermula ketika itu segala permasalahanku berakhir. Produk yang aku maksudkan, Zai Beauty Formula. Bukan sahaja memulih malah memberikanku nikmat merasai hari-hari remajaku dulu di saat aku bebas daripada masalah kulit.

Dan masuk tahun ini, sudah 5 tahun aku menjadi penggunanya yang setia, Alhamdulillah……. Hidup ini terlalu indah. Usah rosakkan keindahan dengan cuba menjadi seseorang yang terlalu SEMPURNA. Kerana kesempurnaan itu hanyalah milik Allah Subhanahu Wataala. Maka, bersyukurlah.

Wednesday, September 14, 2011

MENJAGA AURAT: ANTARA MALAS ATAU JAHIL

Source:Google

*Entry ini ditulis merujuk kepada mereka yang bertudung.

AYUH berlaku jujur kepada diri sendiri. Mengapa anda menutup aurat? Adakah kerana sedar terhadap obligasi agama atau sekadar terikut-ikut (peer’s influence and family upbringing).

Seperti biasa aku suka untuk merujuk kepada diri sendiri. Ya. Aku akui masih tersasar dalam usaha menutup aurat sepenuhnya mengikut syariat dan landasan Islam yang sebenar. Pada mulanya aku jahil, tetapi melalui pembacaan yang berdikit-dikit itu (come on, I admit Islamic articles are not one of my eye catcher and you too shouldn’t be in denial!), akal dan kesedaran malah ketakutanku kian berkembang.

Aku bermula sebagai seorang hijabi yang bukan original. Berhijab ketika berada di tingkatan tiga kerana syarat wajib di sebuah pusat tuisyen, yang menyatakan murid-murid perempuan perlu berhijab untuk belajar di sana. Aku merasa sangat enteng. Aku masih mengenakan tshirt yang dipadankan dengan baggy jeans (gemar, ok!) dan sehelai scarf tiga segi, sekadar mengikatnya ketat pada leher. Memang, anak tudung tidak dikenakan langsung. Wah…aku telek diriku di cermin, rock juga penampilan paksaan itu!

Memakai hijab hanya untuk membolehkan aku menghadiri tuisyen, kemudian di sekolah sudah tentu diwajibkan bertudung sepanjang waktu sesi sekolah. Habis waktu sekolah, pantang ada aktiviti petang, bersukan, mahupun ada aktiviti pasukan beruniform dan juga belajar berkumpulan, nah…waktu itu hijab mudah terbang.

Tamat sekolah menengah, meniti pula zaman universiti, waktu itu juga iman sangat goyah. Sekalipun tahu hukum hakam namun pemakaian mengikut syarak masih diabaikan. Iya, bertudung sekadar menutup rambut, tetapi pakaian tidak dipelihara. Perlakuan apatah lagi. Kalau boleh dibanding antara hilaian si Pontianak dan aku, agaknya aku menang. Anda juga usah menafi, jarang sekali kita rasa sikap dan suara kita, kelakuan itu juga adalah aurat yang perlu kita jaga.

Source:Google

Menjelang saat berkerjaya, ketika itu hasrat untuk menutup aurat sepenuhnya juga lebur. Mengapa? Mana mungkin aku sanggup tewas untuk kelihatan bergaya dengan penampilan wanita berkerjaya, sedangkan aku dihidangkan dengan seleksi fesyen terkini yang tiada penat dikejar di ISETAN, NICHII, METROJAYA, PARKSON dan jangan lupa Jusco! Pakaian harus menampakkan susuk yang ramping, baru keyakinan itu tinggi. Kasut perlu berjenis-jenis, mary jane, pumps, wedges, stiletto, peep toed, baru kelas!

Source:Google

Melangkah ke usia 30-an, aku rasa keseronokan berpakaian, berfesyen bagai nak gila, ketenangan ketika mengadap Ilahi, kian bercelaru. Apabila di rumah, kita sangka kita bebas segalanya. Tetapi tidak. Hendak menyidai pakaian di ampaian juga perlu sedar. Ada mata yang memerhati. Tidak kira lelaki dan wanita. Jadi kenapa malas dan masih meneruskan kejahilan itu? Sukar sangatkah untuk menyambar hijab menutup kepala, jaket atau cardigan untuk menyarung lengan yang terdedah? Semuanya nak ambil mudah. Tapi jangan lupa. Dosa kerana tidak menurut syariat dan larangan-Nya itu adalah sesuatu yang pasti. Ia tidak mengira kau dan kau serta aku yang berkata, ‘ala sekejap jer ni….atau mana ada orang nampak, ni rumah aku’.

Sebenarnya nak berfesyen itu boleh. Ilmu itu perlu digali. Memang semua orang mahu kelihatan cantik untuk kepuasan diri sendiri. Sekarang fesyen muslimah itu sangat banyak. Malu sedari dulu lagi sudah ada. Tetapi kita tidak berikhtiar. Seperti sekarang, aku lebih gemar dengan maxi skirt, maxi dress yang tidak menampakkan susuk tubuh, atau jika hendak berseluar, sila pilih yang loose. Jangan ingat loose tidak menarik. Kena pandai mencari, atau kalau malas, sila berbaju kurung atau jubah sahaja. TAK..aku tak membebel kepada sesiapa. Aku bercakap untuk diri sendiri. Dan paling penting! Sila labuhkan tudung anda. Cover your chest is the best, menurut Wear It Right Campaign oleh Saudari Sue Anna Joe. Memang, aku support dia dan golongan yang sama-sama memperjuangkan penjagaan aurat yang sempurna.

Aku sangat kesal kerana lebih bertahun-tahun membazirkan masa dan menimba dosa yang bertimbun kerana tidak menutup aurat dengan sempurna. Mengapa? Iya…kerana ia seperti tidak menutup langsung! Pakaian ketat, senteng, hijab pendek, apa maknanya? Aku biarkan kita sama-sama muhasabah diri kerana kita memilih untuk menutup kepala pada mulanya kerana apa? Sama-sama kita fikirkan.

Friday, September 9, 2011

Perempuan Cantik Itu

Antara aku dan perempuan cantik itu
Tiada yang serupa
Melainkan dia seorang rupawan
Bisa menebak setiap perasaan Adam yang memandang

Meruntun jiwa menahan rasa
Tetapi apalah sangat dengan aku dan perasaanku
Kerana perempuan cantik itu lebih berbaloi dijaga hatinya
Hingga tergamak menipuku tanpa sesal

Antara aku dan perempuan cantik itu
Memikirkan remuk redam perasaanku cuma sesaat hanya sia-sia
Kerana dia lebih berharga

Antara aku dan perempuan cantik itu
Aku cuma layak merasa rawan
Sedang dia dikelilingi tawa ria
Mendampinginya engkau merasa bangga
Ternyata menyebelahinya lebih bermakna

Sisa Rawan

Kecewa bertandang lagi
Galak menemani sedang sunyi menerpa
Lantas bisikan syaitan mula berdesir
Memukau benak fikiran yang kian hampa

Bukan minta diduga
Jauh sekali minta didusta
Aku bukan beban hidupmu
Sukarkah untuk tidak menyakitiku

Aku selesa haluan kita sama
Sedang kau rakus mempergunakanku seadanya
Namun sekali sekala ku minta kau jauh
Biarkan rongga hidupku bernafas sementara

Namun kau tidak lepas menyiksaku
Sungguhpun hanya melalui pandangan mataku
Kenapa tiada belas dalam hatimu
Untuk menjaga perasaan seorang suri hidupmu