Wednesday, January 11, 2012

BUKAN ‘WORDLESS WEDNESDAY’, IA ‘THOUGHTLESS WEDNESDAY’

Source: Google

Source: Google

Lengkap sudah sebulan entri yang tiada isi (macamlah sebelum ini berisi benar!)

Sebenarnya begini,

Aku hidupkan komputer, bersatu dengan alam maya, namun fikiranku beku.
Aku bertanya pada diri sendiri. Sibuk benarkah baru-baru ini? Akalku pantas menjawab. Sibukkkk lah jugakkk….. tapi nak juga aku mengalun satu dua rentak.

Taktik itu tak menjadi. Maka sibuklah aku menerjah paparan cerita manusia-manusia blogger lain, leka mengagumi kronologi hidup mereka yang dari fasa itu ke fasa yang satu lagi. Sudahnya aku jadi kenyang menyantap emosi cerita berbagai rasa, sambil hati tidak sudah-sudah memuji foto yang cantik mempersona.

Apa saja yang nak diceritakan sekarang? Mungkin boleh aku imbaskan semula. Lewat Disember yang lalu, ratapan piluku untuk pulang ke kampung halaman telah dipenuhi, walaupun episod keberangkatan itu mencetuskan drama airmata di lapangan terbang sensasi syarikat AA. Agak serik, insya Allah lain kali aku cuba lebih menabung untuk perkhidmatan udara yang lain, yang pasti zero ‘rungutan’ selepas ini.

Kegembiraan puteri sulung juga berjaya dipenuhi. Saban hari di utara gelak ketawa tidak lekang walau ada kalanya terbawa-bawa cakaran puteri dengan putera kenit. Bagi aku, sungguhpun tempoh yang sungguh panjang itu mampu melenyapkan segala kesugulan, tapi manusia tetap manusia.

Apa yang dapat memang tidak pernah cukup. Aku berada di sana cukup lama, tapi aku masih mahukan yang ekstra. Mahu melenggeng dengan teman baikku sepuas-puasnya. Akan tetapi, aku dahulukan masa berkualiti bersama ibu bapa, adik dan putera puteriku.

Kesempatan pulang agak lama, aku gunakan peluang yang ada seperti menyediakan keperluan sekolah si puteri. Sangat mencabar kerana pengalaman pertama yang serba serbi tidak tahu.

Apalagi….. oh ya..aku selami isi hati adik bongsu yang baru sahaja menamatkan alam persekolahan dan menyudahkan peperiksaan terbesar sekolah menengah. Jarang benar dapat berborak santai. Selalunya si kakak hanya pandai menyinga. Baliknya sekali sekala, mengarahnya acapkali. Kali ini aku cukup bersedia, sejerih mungkin aku dekati adik secara bersahaja, nada suara tidak keras, lontaran santai. Akhirnya dia buka ruang, aku jengah dengan riang, Alhamdulillah.

Januari kian menginjak, aku rasa masih tidak terlewat untuk berkongsi. Ya, kalau ditelek gambar di atas, ia mesin jahit. Lantas apa kaitan denganku? Oh, itu sesuatu yang aku usahakan :)

Aku doakan kalian (jika ada yang melintas di sini) baik-baik sahaja hendakNya, moga apa sahaja yang dicita-citakan akan Allah makbulkan dan Salam Ukhwah.